Thursday, July 17, 2008

~ pengorbanan seorg ibu~-buat renungan utk semUa-


Memang sukar untuk orang lain percaya,tapi itulah yang
berlaku. Ibu saya
memang seorang pembohong!! Sepanjang ingatan saya
sekurang-kurangnya 8 kali
ibu membohongi saya. Saya perlu catatkan segala
pembohongan itu untuk
dijadikan renungan anda sekalian.

Cerita ini bermula ketika saya masih kecil. Saya
lahir sebagai seorang
anak lelaki dalam sebuah keluarga miskin. Makan minum
serba kekurangan.
Kami sering kelaparan. Adakalanya, selama beberapa
hari kami terpaksa makan
berlaukkan ikan masin dikongsi satu keluarga. Sebagai
anak yang masih
kecil, saya sering saja merungut. Saya menangis
mahukan nasi dan lauk yang
banyak. Tapi ibu cepat memujuk. Ketika makan, ibu
sering membahagikan
bahagian nasinya untuk saya. Sambil memindahkan nasi
ke mangkuk saya, ibu
berkata : ""Makanlah nak ibu tak lapar." – PEMBOHONGAN
IBU YANG PERTAMA.

Ketika saya mulai besar ibu yang gigih sering
meluangkan watu senggangnya
untuk pergi memancing di tali air berhampiran rumah.
Ibu berharap dari ikan
hasil pancingan itu dapat memberikan sedikit makanan
untuk membesarkan kami
adik-beradik. Pulang dari memancing, ibu memasak gulai
ikan yang segar dan
mengundang selera. Sewaktu saya memakan gulai ikan itu
ibu duduk disamping
kami dan memakan sisa daging ikan yang masih menempel
di tulang daripada
bekas sisa ikan yang saya makan tadi. Saya sedih
melihat ibu seperti itu..
Hati saya tersentuh lalu dengan menggunakan sudu saya
memberikan ikan itu
kepada ibu. Tetapi ibu dengan cepat menolaknya. Ibu
berkata : "Makanlah
nak, ibu tak suka makan ikan." – PEMBOHONGAN IBU YANG
KEDUA.

Di usia awal remaja, saya masuk sekolah menengah. Ibu
pergi ke kedai dengan
membawa sejumlah penyapu lidi dan kuih-muih untuk
menyara persekolahan
saya,abang dan kakak. Suatu dinihari lebih kurang
pukul 1.30 pagi saya
terjaga dari tidur. Saya melihat ibu membuat kuih
dengan beremankan sebuah
pelita di hadapannya. Beberapa kali saya melihat
kepala ibu terhangguk
kerana mengantuk. Saya berkata : "Ibu, tidurlah, esok
pagi ibu kena pergi
kebun pula." Ibu tersenyum dan berkata : "Cepatlah
tidur nak, ibu belum
mengantuk lagi." – PEMBOHONGAN IBU YANG KETIGA.

Di hujung musim persekolahan, ibu meminta cuti kerja
supaya dapat menemani
saya pergi ke sekolah untuk menduduki peperiksaan
penting. Ketika hari
sudah siang, terik panas matahari mulai menyinari, ibu
terus sabar menunggu
saya di luar dewan. Ibu seringkali saja tersenyum dan
mulutnya
terkumat-kamit berdoa kepada Illahi agar saya lulus
ujian peperiksaan ini
dengan cemerlang. Ketika loceng berbunyi menandakan
ujian sudah selesai,
ibu dengan segera menyambut saya dan menuangkan kopi
yang sudah disiapkan
dalam botol yang dibawanya. Kopi yang kental itu tidak
dapat dibandingkan
dengan kasih sayang ibu yang jauh lebih kental.
Melihat tubuh ibu yang
dibasahi peluh, saya segera memberikan cawan saya itu
kepada ibu dan
menyuruhnya minum. Tapi ibu cepat-cepat menolaknya dan
berkata : "Minumlah
nak, ibu tak haus!!" – PEMBOHONGAN IBU YANG KEEMPAT.

Setelah pemergian ayah kerana sakit, iaitu selepas
saya baru beberapa bulan
dilahirkan, ibulah yang mengambil tugas sebagai ayah
kepada kami
sekeluarga. Ibu bekerja mengambil upah di kebun,
membuat penyapu lidi dan
menjual kuih-muih agar kami tidak kelaparan. Tapi
apalah sangat kudrat
seorang ibu. Kehidupan keluarga kami semakin susah dan
susah. Melihat
keadaan keluarga yang semakin parah, seorang pakcik
yang baik hati dan
tinggal berjiran dengan kami, datang untuk membantu
ibu. Anehnya, ibu
menolak bantuan itu. Jiran-jiran sering kali
menasihati ibu supaya menikah
lagi agar ada seorang lelaki yang akan menjaga dan
mencarikan wang untuk
kami sekeluarga. Tetapi ibu yang keras hatinya tidak
mengendahkan nasihat
mereka. Ibu berkata : "Saya tidak perlukan cinta dan
saya tidak perlukan
lelaki." – PEMBOHONGAN IBU YANG KELIMA.

Setelah kakak dan abang habis belajar dan mula
bekerja, ibu sudah pun tua.
Kakak dan abang menyuruh ibu supaya berehat sahaja di
rumah. Tidak payahlah
lagi bersusah payah dan bersengkang mata untuk mencari
duit. Tetapi ibu
tidak mahu. Ibu rela pergi ke pasar setiap pagi
menjual sedikit sayur untuk
memenuhi keperluan hidupnya. Kakak dan abang yang
bekerja jauh di kota
besar sering mengirimkan wang untuk membantu memenuhi
keperluan ibu, pun
begitu ibu tetap berkeras tidak mahu menerima wang
tersebut. Malahan ibu
mengirim balik wang itu dan ibu berkata : "Jangan
susah-susah, ibu ada
duit." – PEMBOHONGAN IBU YANG KEENAM.

Setelah tamat pengajian di universiti, saya
melanjutkan lagi pelajaran ke
peringkat sarjana di luar Negara. Pengajian saya di
sana dibiayai
sepenuhnya oleh sebuah syarikat besar. Sarjana itu
saya sudahi dengan
cemerlang,kemudian saya pun bekerja dengan syarikat
yang telah membiayai
pengajian saya juga di luar negara. Dengan gaji yang
agak lumayan, saya
berhajat membawa ibu untuk menikmati penghujung
hidupnya di luar negara.
Pada pandangan saya, ibu sudah puas bersusah payah
untuk kami. Hampir
seluruh hidupnya habis dengan penderitaan, eloklah
kalau hari-hari tuanya
ini ibu habiskan dengan keceriaan dan keindahan pula.
Tetapi ibu yang baik
hati, menolak ajakan saya. Ibu tidak mahu menyusahkan
anaknya ini dengan
berkata ; "Tak payahlah, ibu tak biasa tinggal di
negara orang." –
PEMBOHONGAN IBU YANG KETUJUH.

Beberapa tahun berlalu, ibu semakin tua.. Suatu malam
saya menerima berita
ibu diserang penyakit kanser. Ibu mesti dibedah
secepat mungkin. Saya yang
ketika itu berada jauh diseberang samudera terus
segera pulang untuk
menjenguk ibunda tercinta. Saya melihat ibu terbaring
lemah di katil
hospital setelah menjalani pembedahan. Ibu yang
kelihatan sangat tua,
menatap wajah saya dengan penuh kerinduan. Ibu
menghadiahkan saya sebuah
senyuman biarpun agak kaku kerana terpaksa menahan
sakit yang menjalari
setiap inci tubuhnya.. Saya dapat melihat dengan jelas
betapa seksanya
penyakit itu telah memamah tubuh ibu sehingga ibu
menjadi terlalu lemah dan
kurus. Saya menatap wajah ibu sambil berlinangan air
mata. Saya cium tangan
ibu kemudian saya kecup pula pipi dan dahinya. Di saat
itu hati saya
terlalu pedih, sakit sekali melihat ibu dalam keadaan
seperti ini. Tetapi
ibu tetap tersenyum dan berkata : "Jangan menangis
nak, ibu tak sakit." –
PEMBOHONGAN IBU YANG KELAPAN.

Setelah mengucapkan pembohongan yang kelapan itu,
ibunda tercinta menutup
matanya untuk kali terakhir kali.

Anda bertuah kerana masih mempunyai ibu dan ayah. Anda
boleh memeluk dan
menciumnya. Kalau ibu anda jauh dari mata, anda boleh
menelefonnya
sekarang, dan berkata, 'Ibu,saya sayangkan ibu.' Tapi
tidak saya. Sehingga
kini saya diburu rasa bersalah yang amat sangat kerana
biarpun saya
mengasihi ibu lebih dari segala-galanya, tapi tidak
pernah sekalipun saya
membisikkan kata-kata itu ke telinga ibu, sampailah
saat ibu menghembuskan
nafasnya yang terakhir.

Ibu, maafkan saya. SAYA SAYANG IBU….…

No comments:

 

Design By:
SkinCorner